Dasar bahasa pendidikan ialah dasar
yang dipegang dalam menggunakan bahasa sebagai bahasa pengantar di sekolah.
Dasar bahasa am ialah dasar yang secara tidak rasmi diterima oleh kerajaan
mengenai penggunaan bahasa dalam perdagangan, perhubungan rakyat dan dalam
hubungan dengan orang-orang luar, badan-badan atau negara-negara luar
(Asmah,1985:23). Prinsip asas pembuatan
keputusan masih berfokuskan kepada pembinaan bangsa. Apa-apa pun yang
diputuskan di peringkat kerajaan, termasuklah bahasa, memberikan kesan kepada perkembangan
pembinaan bangsa. Dalam hal ini, sekiranya tidak ada apa-apa polisi juga
merupakan satu polisi kerajaan itu
sendiri. Kerajaan haruslah memberikan
perhatian kepada bahasa. Bahasa merupakan komponen yang penting dalam
mendefinisikan identiti atau jati diri bangsa.
Malah kita dapati banyak negara-negara bekas Kesatuan Soviet berusaha
untuk mengekalkan bahasa ibunda mereka bagi menjaga kepentingan hak minoriti.
Bahasa juga merupakan konsep yang penting bagi menjaga kepentingan masyarakat asli.
Perjanjian Rom memberikan hak kepada orang-orang Eropah bertutur dalam
bahasa ibunda dalam urusan seharian mereka.
Perancangan taraf Bahasa Melayu
telah memberikan tiga aspek penting kepada Bahasa Melayu, iaitu Bahasa Melayu
sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dan bahasa pendidikan. Taraf Bahasa
Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan menyediakan ruang yang cukup luas
untuk Bahasa Melayu berkembang sebagai bahasa ilmu. Sebagai bahasa ilmu, dua
ciri penting yang perlu ada ialah keintelektualan dan kesempurnaan. Bahasa
Melayu mempunyai kedua-dua ciri tersebut dan hakikatnya Bahasa Melayu berada
pada landasan yang tepat menuju kesempurnaan sebagai bahasa ilmu moden. Ini
bersesuaian dengan ketetapan yang diisytiharkan oleh UNESCO berkaitan dengan
perancangan bahasa dalam dasar pendidikan masyarakat yang multi bahasa.
Persidangan Antarabangsa UNESCO ke-31 pada Oktober 2001 telah mengisytiharkan
satu deklarasi prinsip yang harus
dipatuhi olah anggota-anggotanya, iaitu:
(a) Menyokong pengajaran dalam bahasa ibunda
sebagai kaedah untuk meningkatkan kualiti pendidikan dengan membina pengetahuan
pelajar dan pengajar.
Pengajaran dalam bahasa ibunda amat
penting bagi pendidikan awal kanak-kanak dan seharusnya diperluaskan kepada
peringkat pendidikan yang lebih tinggi. Oleh itu, setiap kanak-kanak seharusnya
memulakan pendidikan formal dalam bahasa ibunda dan keadaan buta huruf dalam
kalangan orang dewasa juga harus dimulai dengan pengajaran dalam bahasa ibunda.
Celik huruf hanya dapat dicapai sekiranya
ada bekalan bahan bacaan yang mencukupi bagi kanak-kanak dan juga orang dewasa.
Oleh itu penghasilan dan penyebaran bahan pengajaran, sumber pembelajaran, dan
bahan bacaan yang berkaitan seharusnya dihasilkan dalam bahasa ibunda.
Semua perancangan pendidikan
seharusnya merangkumi latihan, iltizam
yang tinggi, guru yang cekap dan kompeten serta biasa dengan kehidupan
masyarakatnya sendiri agar dapat mengajar dengan baik dalam bahasa ibunda.
(b) Menyokong pengajaran dalam dwibahasa atau
multibahasa pada semua tahap pendidikan sebagai satu kaedah untuk meningkatkan
kualiti sosial dan persamaan jantina dan
unsur penting bagi masyarakat yang pelbagai linguistik.
Komunikasi, ekspresi dan keupayaan
mendengar dan bertutur seharusnya ditingkatkan, pada awalnya mestilah dalam
bahasa ibunda dan kemudian dalam bahasa kebangsaan dan selepas itu baharulah
bahasa asing.
(c) Menyokong bahasa sebagai komponen penting
dalam pendidikan antara budaya dalam usaha untuk menggalakkan pemahaman antara
kumpulan populasi yang pelbagai bangsa serta menghormati hak-hak fundamental.
Hak mendapat pendidikan setiap
anggota kumpulan minoriti sebagaimana juga hak bagi penduduk asli perlulah
dihormati melalui pelaksanaan hak mendapat pendidikan dalam bahasa ibunda.
Pendidikan seharusnya melahirkan
kesedaran tentang nilai positif kepelbagaian budaya dan linguistik.
Masalah kritikal yang dihadapi oleh
negara multibangsa ini ialah konflik antara kesetiaan individu terhadap
komuniti etniknya berbanding dengan kesetiaan terhadap komuniti yang lebih
besar. Persoalan inilah yang perlu difikirkan untuk memudahkan proses pembinaan
bangsa. Masalah ini akan menjadi lebih
serius sekiranya kumpulan etnik yang ada terus menerus menggunakan penggunaan bahasa
yang pelbagai dan memperlihatkan kesetiaan mereka kepada tradisi linguistik
mereka. Kepelbagaian linguistik ini pasti menyebabkan integrasi komunikasi yang
rendah sehingga mengakibatkan pemodenan proses yang panjang dan menyulitkan.
Bahasa Melayu menjadi bahasa
pengantar dalam sistem pendidikan negara Malaysia telah dipertahankan dan
diperkembang berdasarkan pelbagai akta dan laporan semula bermula dengan
Penyata Razak (1956), Laporan Rahman Talib (1960), Akta Pelajaran (1961), Akta
Bahasa Kebangsaan (1963), Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Dasar Pelajaran
(1979) dan Akta Pendidikan (1996).
Jawatankuasa Pelajaran Razak merupakan jawatankuasa pendidikan pertama
yang dibentuk sesudah negara mencapai taraf kerajaan sendiri pada tahun 1956.
Gagasan pendidikan kebangsaan yang dikemukakan oleh jawatankuasa tersebut
berteraskan matlamat perpaduan, dengan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai
bahasa pengantar utama. Penyata Razak (1956: Perenggan 2 mengatakan bahawa
”…usaha menyatukan budak-budak daripada
semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran yang
meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa
pengantar yang besar (utama) walaupun perkara ini tidak dapat dilaksanakan
serta merta melainkan dengan beransur-ansur”.
Perincian dan penegasan gagasan
pendidikan kebangsaan itu dimantapkan oleh Jawatankuasa Penyemak Pelajaran
Rahman Talib (1960). Oleh itu jelaslah bahawa selepas kemerdekaan, Bahasa
Melayu telah tumbuh dan berkembang dengan pesat seiring dengan pencapaian dalam
pembangunan negara khususnya sektor pendidikan. Isunya ialah perubahan dalam
dasar pendidikan negara jugalah yang nampaknya “melupakan” hasrat murni dalam
Penyata Razak tersebut telah mencorakkan pemikiran masyarakat kita hari ini
yang “terlebih sudu daripada kuah” dalam
mengutamakan Bahasa Inggeris. Laporan Razak mengatakan bahawa Bahasa Inggeris
ialah bahasa kedua yang wajib diajarkan di sekolah. Kini, permasalahannya ialah dasar tersebut
nampaknya sudah mengalami perubahan apabila Bahasa Inggeris bukanlah lagi bahasa
kedua malah bahasa utama bagi mendapatkan
ilmu pengetahuan. Perubahan ini melibatkan satu generasi yang bakal
membina sebuah tamadun pada masa akan datang. Penerimaan dasar ini sering
dipertikaikan dan memperlihatkan kesan langsung perubahan dasar ini untuk
direnung bersama-sama oleh masyarakat
umum, dan khususnya mereka yang
terlibat dalam membuat keputusan dan yang melaksanakannya.
Akta Pendidikan (1996) digunakan
untuk menentukan dasar, hala tuju dan garis panduan bagi mengawasi perkembangan
pendidikan awam yang berfungsi sebagai pelaburan sosial tetapi berbeza dalam
pendidikan swasta dilihat sebagai pelaburan pendidikan. Hashim Musa (1996)
mengatakan bahawa cabaran yang paling serius terhadap Bahasa Melayu ialah
penubuhan kolej swasta dan separuh swasta dan institusi pengajian tinggi awam
yang semuanya bergerak ke arah menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa
pengantar. Dasar pendidikan negara seharusnya menekankan secara menyeluruh dan
bersepadu terhadap penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar
utama. Walaupun Akta Pendidikan Tinggi
Swasta (1996) mengatakan bahawa semua IPTS di negara ini hendaklah menggunakan
bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar tetapi ini bukan jaminan utuh bagi
pemerkasaan Bahasa Melayu. Akta yang sama juga memberikan kuasa kepada Menteri
Pendidikan Tinggi untuk membenarkan IPTS menggunakan Bahasa Inggeris sebagai
bahasa pengantar utamanya. Penyata Razak (1956) menyatakan bahawa bahasa
kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan sebagai bahasa rasmi yang tunggal. Cadangan
untuk mengetepikan pengajaran Bahasa Melayu di sekolah-sekolah swasta tidak
harus diterima. Sistem pendidikan
kebangsaan berhasrat untuk menyatupadukan rakyat Malaysia yang multibahasa ke
dalam satu kelompok melalui penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar
dalam sistem pendidikan haruslah diteruskan. Lebih mencabar lagi apabila
perbadanan gergasi seperti PETRONAS, Syarikat Telekom Bhd., dan Tenaga Nasional
masing-masing menubuhkan Universiti PETRONAS, Universiti Multimedia Malaysia
(MMU) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN). Kesemua universiti ini
menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utama. Sikap
membelakangkan Bahasa Melayu ini seolah-olah dimaafkan demi kepentingan
negara agar berada sama taraf dengan
negara-negara barat dalam era globalisasi. Kita tidak seharusnya meminggirkan
Bahasa Melayu dalam usaha memartabatkan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan
pendidikan dunia. Negara Jepun dan Cina masih lagi terkehadapan di Asia sebagai
pusat pendidikan dunia walaupun bahasa utamanya ialah bahasa ibunda mereka.
Namun demikian, hasrat untuk
mengukuhkan Bahasa Melayu menghadapi cabaran yang paling getir apabila
munculnya idea pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris yang telah
dibentangkan dalam perjumpaan kabinet pada 17 April 2002. Ini diikuti pula dengan cadangan oleh Kementerian
Pendidikan menyemak semula Kurikulum Baharu Bersepadu untuk memberikan ruang
bagi pengajaran Bahasa Inggeris dalam bidang Sains dan Matematik yang dilaksanakan
bagi murid tahun satu, pelajar tingkatan satu dan pelajar tingkatan enam rendah
pada tahun 2003. Alasan yang diberikan ialah pelajar masih tidak menguasai
Bahasa Inggeris dengan baik, walaupun telah diberikan peluang pemelajaran
selama lebih kurang 11 tahun dalam alam persekolahan rendah dan menengah.
Sekiranya Bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa pengantar di
sekolah-sekolah, maka ini dikira bercanggah dengan apa yang termaktub dalam
Dasar Pendidikan Negara.
Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu
pada 8 November 2006 telah membuat ketetapan
meminta kerajaan supaya tidak menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa
pengantar bagi mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah-sekolah demi mengembalikan kedudukan Bahasa Melayu
pada tempat yang sewajarnya, sebagaimana termaktub dalam Laporan Razak (1956).
Apa yang kurang diberikan perhatian ialah penguasaan Bahasa Inggeris itu
sendiri memang lemah dari segi penyediaan kurikulum, kemahiran pengajaran, dan
pelaksanaan strategi menyebabkan kemerosotan yang begitu ketara dalam pelajar. Namun begitu Bahasa Melayu tidak
perlu ”dihukum” apabila menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar
Sains dan Matematik yang telah berjaya ditangani dengan baik sekali selama ini
dalam Bahasa Melayu. Sistem pendidikan dari peringkat sekolah rendah hinggalah
ke peringkat universiti telah berjaya melaksanakan penggunaan Bahasa Melayu
sepenuhnya menjelang 1983. Anjakan dasar
pendidikan terhadap Bahasa Melayu kelak akan merugikan bangsa Melayu sendiri.
Apa yang perlu dilakukan ialah menjalankan kajian semula terhadap kaedah
pengajaran Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah. Pengalaman penulis sendiri
apabila membuat kajian di sekolah di sekitar Petaling Jaya mendapati bahasa
penguasaan tulisan pelajar dalam Bahasa Inggeris begitu tinggi sekali. Masalah
yang timbul ialah kemahiran komunikasi mereka dalam bahasa tersebut. Pokok
persoalan inilah yang harus ditangani dengan berhemat. Kita mempunyai
tokoh-tokoh akademik yang boleh menjalankan kajian ini dan menyarankan
langkah-langkah yang berkesan mengatasi masalah ini, tanpa mengorbankan Bahasa
Melayu.
Awang Sariyan (2002) mengatakan
bahawa pendekatan, kaedah dan prinsip mempelajari Bahasa Inggeris perlu
dipertingkat seperti membaiki kaedah pengajaran bahasa itu di institusi
pendidikan yang ternyata tidak mencapai matlamatnya dan kegagalan sesuatu mata
pelajaran tidak seharusnya membabitkan subjek lain. Kementerian Pendidikan
perlu menambah kemudahan bahan bantu pengajaran Bahasa Inggeris, termasuk
penggunaan teknologi terkini, selain menyelia atau menambah serta membaiki
kemudahan makmal bahasa. Pembudayaan sains dan teknologi dalam Bahasa Melayu
memerlukan keyakinan, iltizam dan usaha bersungguh-sungguh serta berterusan
semua pihak. Bahasa Inggeris, Bahasa Jerman, Bahasa Jepun, Bahasa Korea dan
bahasa maju yang lain terbina dalam tempoh yang cukup lama; sebaliknya, Bahasa
Melayu telah berjaya dibangunkan sebagai bahasa sains dan teknologi serta
mencapai kemajuan seperti sekarang ini dalam tempoh kira-kira 49 tahun
sahaja.
Kita sedia maklum bahawa falsafah
pendidikan negara dihasilkan dalam usaha melahirkan insan yang berilmu dan
berakhlak, seimbang dan harmonis, yang boleh mencapai kesejahteraan diri dan
memberi sumbangan kepada keharmonian serta kemakmuran masyarakat dan negara.
Dasar Pendidikan Negara mempunyai matlamat untuk menyatupadukan rakyat Malaysia
yang berbilang kaum melalui satu sistem pendidikan yang menggunakan satu
bahasa, iaitu Bahasa Melayu. Oleh itu dasar pendidikan negara seharusnya
menggalakkan penggunaan Bahasa Melayu dengan lebih berkesan dalam kalangan pelajar. Keperluan ini bukan
sahaja pada peringkat sekolah kerajaan dan institusi pengajian tinggi awam
tetapi juga perlulah diperluaskan ke peringkat sekolah swasta dan institusi
pengajian tinggi swasta. Bahasa Melayu dapat dijadikan alat perpaduan kerana pelajar berinteraksi dengan mudah
serta dapat berbincang menggunakan satu bahasa yang difahami oleh semua
golongan bangsa. Mereka dapat menyampaikan pendapat dengan mudah dan keadaan
ini akan mewujudkan sikap saling memahami dan melahirkan semangat perpaduan
yang kukuh. Bahasa dan pendidikan merupakan dua unsur yang penting dalam
pembangunan sesebuah negara. Peminggiran Bahasa Melayu dalam dunia pendidikan
seharusnya tidak berlaku kerana hal ini jelas sekali bertentangan dengan
perlembagaan negara. Oleh itu, semua pihak yang berwajib dan rakyat Malaysia
seharusnya berkerjasama bagi mengekalkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa
ilmu dalam sistem pendidikan di Malaysia.